MEDIA
 
NEWS | EVENTS

Peruntukan RM1.9b bina rumah
29 SEPTEMBER 2012 | SOURCE: UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR 28 Sept. - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit rumah yang bakal dilaksanakan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara Berhad.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejumlah RM500 juta akan dibelanjakan PR1MA untuk membina 50,000 buah rumah di bandar-bandar di seluruh negara dengan harga jualan RM100,000 hingga RM400,000 di Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan Kuantan.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, PR1MA juga menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah RM500 juta untuk membina 30,000 buah rumah secara usaha sama dengan pemaju swasta.

Menurut beliau, harga rumah yang ditawarkan di bawah program itu adalah 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.

 

"Sebanyak RM320 juta diperuntukkan melalui SPNB untuk membina sebanyak 22,855 buah kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat dan rumah mampu milik," katanya ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Najib berkata, projek perumahan SPNB bakal dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 buah apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh dengan harga jualan sekitar RM120,000 hingga RM220,000 sebuah.

 

Tambah beliau, bagi program Rumah Mesra Rakyat pula SPNB akan membina sebanyak 21,000 buah rumah pada 2013.

 

Di bawah program itu, ujar beliau, SPNB akan membina rumah berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus.

 

Najib menambah, peruntukan sejumlah RM543 juta akan disediakan bagi Jabatan Perumahan Negara untuk melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 buah rumah akan dibina menggunakan kaedah sistem pengindustrian bangunan.

 

"Kesemua kediaman ini akan dijual RM30,000 hingga RM40,000 sebuah berbanding harga pasaran RM120,000 sebuah dengan 20 peratus daripada keseluruhan kediaman Projek Perumahan Rakyat diberi kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan orang kurang upaya," tambahnya.

 

Menurutnya, bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama, Skim Rumah Pertamaku akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan atau RM10,000 sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri.

 

Najib berkata, syarat keperluan simpanan tiga bulan deposit serta tempoh minimum bekerja enam bulan turut dimansuhkan.

 

Di samping itu, beliau menambah, kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga RM400,000.

 
RECENT ARTICLES

Evolusi PR1MA Kepada Sistem Komuniti
26 SEPTEMBER 2012

'PR1MA Can Take Back Houses if Owners Don't Abide by Regulations'
26 SEPTEMBER 2012

Sites for 10,000 Affordable Homes in Seremban
25 SEPTEMBER 2012

PR1MA Online Registration System Up by Year End
24 SEPTEMBER 2012

Najib Lancar Projek Pertama PR1MA 29 Sept.
23 SEPTEMBER 2012

Finally, Affordable Homes for Middle-Income Earners
23 SEPTEMBER 2012

 
More News

Copyright © 2012 Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)