MEDIA
 
NEWS | EVENTS

Impian anak muda miliki rumah
26 SEPTEMBER 2012 | SOURCE: BERITA HARIAN ONLINE


Rakyat mengharapkan Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini memberi tumpuan kepada isu perumahan. Dua isu utama ialah keupayaan anak muda untuk memiliki rumah berikutan harga yang melambung tinggi dan kualiti rumah serta persekitaran yang kondusif untuk didiami.

Pada hari ini rumah bukan sekadar tempat berlindung, tetapi juga menjadi simbol status sosial. Ahli falsafah juga mengungkapkan ‘rumahmu adalah wajahmu dan jiwamu’.

Dasar Perumahan Negara (DRN) yang dilancarkan pada 2011 bermatlamat menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kehidupan rakyat. Secara mudah kerajaan bertanggungjawab memastikan semua rakyat dapat memiliki dan menyewa rumah terutama kepada berpendapatan rendah dan sederhana.

Harga rumah pada hari ini ditentukan oleh harga pasaran. Anak muda yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 tidak mampu memiliki rumah melebihi RM400,000"

 

Pendapatan masih rendah

Sudah semestinya dasar ini dirasai oleh golongan muda kerana sering berlaku golongan ini gagal memiliki rumah sendiri, pendapatan masih rendah, namun bergelumang dengan kos kehidupan yang semakin meningkat.

Di Selangor, sejak pertukaran pemerintah kepada DAP-PAS-PKR sudah tiada lagi kedengaran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melaksanakan projek perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana apatah lagi untuk golongan muda.

Rumah pangsapuri kos rendah antara projek terakhir ialah pada 2008 di Seksyen 7 Shah Alam di mana majoriti penduduk pangsapuri berkenaan adalah penduduk setinggan dari sekitar Batu Tiga Shah Alam dan dari seluruh pelusuk Selangor. Begitu juga di Ken Rimba, Padang Jawa, Shah Alam adalah projek pangsapuri kos rendah yang menempatkan setinggan dari Seksyen 16 Shah Alam di bawah Program Setinggan Sifar.
Keperitan anak muda ialah tiada lebihan wang untuk memiliki rumah. Gaji mereka cukup sekadar menanggung perbelanjaan bulanan. Jika mereka bersetuju untuk menerima tambahan beban hutang bermakna mereka perlu menambah pendapatan bulanan atau mengurangkan perbelanjaan. Keadaan semakin kritikal apabila mereka tinggal di bandar besar dan masih lagi menanggung adik dan ibu bapa.

Pertengahan 20-an mula kerjaya

Sistem pendidikan sedia ada hanya membolehkan mereka yang berumur pertengahan 20-an untuk memulakan kerjaya. Tanggungan utama mereka selepas bekerja ialah membayar kembali pinjaman pendidikan, berkahwin dan memiliki kenderaan untuk ke tempat kerja. Hanya selepas mereka berkeluarga dan stabil dalam pendapatan barulah idea memiliki rumah sendiri muncul.

Pembiayaan pembelian rumah masih lagi di bawah penilaian bank. Penilaian bank adalah merujuk kepada kemampuan bayar balik pinjaman. Oleh itu, hanya pembeli yang layak bakal menikmati pinjaman. Selagi pihak bank tidak melonggarkan kriteria pinjaman selagi itu ia hanya bakal dinikmati oleh sebahagian kecil golongan muda.

Dalam perkiraan mudah dengan rumah yang berharga RM200,000 dan tempoh bayaran 25 tahun peminjam akan membayar RM1,000 sebulan. Jika diambil perkiraan 25 peratus daripada pendapatan, maka peminjam mestilah berpendapatan RM4,000. Biasanya tahap gaji ini akan diperoleh selepas lima tahun bekerja.

Harga rumah pada hari ini ditentukan oleh harga pasaran. Anak muda yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 tidak mampu memiliki rumah melebihi RM400,000. Untuk membeli sebuah rumah dengan kos kurang daripada RM400,000 mereka terpaksa duduk jauh dari tempat kerja.

Perubahan isu perumahan

Ada perubahan terhadap isu perumahan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak. Mengimbas Bajet 2011 diperkenalkan insentif sebanyak RM568 juta terhadap Projek Bantuan Perumahan Bandar. Kemudian diperkenalkan pula pinjaman kewangan 100 peratus kepada golongan muda yang berpendapatan RM3,000. Skim tanpa deposit 10 peratus membenarkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah memiliki rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000.

Terkini Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diperkenalkan. Ia memberi tumpuan rumah mampu milik di kawasan bandar dan pinggir bandar kepada anak muda berpendapatan antara RM2,500 hingga RM6,000 sebulan dengan harga rumah RM150,000 hingga RM300,000 bergantung kepada lokasi dan saiz.

Kita harap Bajet 2013 memberi tumpuan kepada isu perumahan kerana sebahagian besar rakyat masih mengharapkan kediaman selesa.
 
RECENT ARTICLES

Evolusi PR1MA Kepada Sistem Komuniti
26 SEPTEMBER 2012

'PR1MA Can Take Back Houses if Owners Don't Abide by Regulations'
26 SEPTEMBER 2012

Sites for 10,000 Affordable Homes in Seremban
25 SEPTEMBER 2012

PR1MA Online Registration System Up by Year End
24 SEPTEMBER 2012

Najib Lancar Projek Pertama PR1MA 29 Sept.
23 SEPTEMBER 2012

Finally, Affordable Homes for Middle-Income Earners
23 SEPTEMBER 2012

 
More News

Copyright © 2012 Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)