PR1MA PERTAMA AKAN DILANCAR DI SEREMBAN ESOK OLEH PM- CEO PR1MA
28 SEPTEMBER 2012 | SOURCE: BERITA TV3
Kuala Lumpur --Bajet 2013 adalah kesinambungan daripada komitmen kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah dengan menyediakan rumah mampumilik untuk golongan berpendapatan sederhana di kawasan bandar yang mempunyai permintaan tinggi.
Menurut CEO PR1MA Dato Abdul Mutalib Alias ,kami di PR1MA berbesar hati kerana telah dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri untuk merealisasikan visinya dan pada hari ini, kami semakin hampir untuk memenuhi aspirasi ini. Pengumuman ini merupakan satu ‘Game Changer’ yang akan mendatangkan manfaat kepada sektor hartanah, serta bakal menjadi mangkin bagi tumbesaran sektor pembinaan serta rantaian bekalannya.
Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa projek PR1MA yang pertama, iaitu PR1MA Seremban, akan dilancarkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak esok. Projek ini akan menjadi projek pertama yang dirancang, dibangunkan dan diuruskan oleh PR1MA. Menjelang hujung tahun ini, kami merancang untuk melancarkan projek PR1MA kedua di Lembah Klang.
Dalam tempoh 12 bulan akan datang, kami akan membina 50,000 rumah PR1MA untuk individu dan keluarga yang layak dan tinggal di kawasan bandar terpilih.
Sejak pelancaran program PR1MA tahun lepas, kami sentiasa melibatkan penyertaan kumpulan pemegang taruh dalam kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri serta industri yang berkenaan untuk menghasilkan rangka tindakan bagi mencari penyelesaian yang lestari untuk mempromosikan kemudahan perumahan kepada golongan rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana.
Sesi bersama pemegang taruh ini sangat bermanfaat kepada PR1MA kerana kami diberi peluang untuk berkongsi visi Perdana Menteri untuk program ini dan sebagai pulangan, kami mendapat maklum balas daripada pihak industri ini tentang cara untuk mengorak langkah yang lebih jauh ke hadapan.
Untuk menggalakkan pendaftaran bagi rumah PR1MA di kalangan rakyat Malaysia, kami akan mengadakan program pendaftaran di seluruh negara. Data yang dikumpul akan digunakan bagi mengukur keperluan untuk rumah PR1MA dan mengenal pasti kawasan-kawasan yang mempunyai keperluan yang tinggi di setiap negeri. Ia juga akan digunakan bagi proses pengagihan rumah.
Pemohon mestilah memenuhi beberapa kriteria utama sebelum layak menyertai program PR1MA ini. Pemohon mestilah berwarganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas dan mempunyai pendapatan isi rumah kasar antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan. Pemohon juga mestilah menetap atau bekerja di kawasan projek yang akan dibangunkan tersebut dan tidak memiliki lebih daripada sebuah rumah di Malaysia. |