Dato’ Abdul Mutalib Alias telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Berhad berkuatkuasa Julai 15, 2011.
Sebelum perlantikan ini, Dato’ Mutalib berkhidmat sebagai Pegawai khas kepada Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor. Beliau juga adalah Pegawai Khas kepada Datuk Shaziman semasa Datuk Shaziman berkhidmat sebagai Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada dua bekas menteri iaitu bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan juga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Sebelum menyertai kerajaan, Dato’ Mutalib mempunyai 15 tahun pengalaman bekerja di sektor perbankan pelaburan di mana beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Naib Presiden di The Chase Manhattan Bank daripada 1985 hingga 2000.
PR1MA yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai 4, 2011 ialah suatu skim yang dirangka oleh kerajaan bagi menyediakan perumahan gaya hidup bagi keluarga berpendapatan sederhana di kawasan-kawasan Bandar utama seluruh Malaysia.
Dato’ Mutalib mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Governors State University, Illinois dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perakaunan dari Northern Illinois University, DeKalb, Illinois.
|