Enam lokasi dikenal pasti
27 SEPTEMBER 2012 | SOURCE: UTUSAN ONLINE
SEREMBAN 26 Sept. - Enam lokasi di sekitar daerah ini telah dikenal pasti untuk dijadikan kawasan perumahan mampu milik di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) khusus bagi golongan berpendapatan sederhana.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, penyediaan lokasi bagi PR1MA itu bertujuan membolehkan rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah idaman dengan harga berpatutan.
"Kita sedar isu berkaitan harga hartanah yang melonjak menghimpit rakyat sehingga mereka sukar mendapatkan rumah dan kerana itulah kerajaan mengambil inisiatif bersama kerajaan Persekutuan memperkenalkan PR1MA.
"Projek PR1MA itu kita telah lakukan di Labu dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Langkah ini sudah pastinya melegakan rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Kata beliau, Najib juga akan melancarkan projek PR1MA khusus bagi golongan berpendapatan sederhana Sabtu ini sempena lawatan beliau ke Negeri Sembilan.
Jelas Mohamad, dalam tempoh lima tahun akan datang lebih banyak rumah PR1MA itu akan diwujudkan dengan anggaran 6,000 unit.
"Apa yang penting dengan adanya perumahan itu, kita akan pastikan jaringan jalan raya akan disediakan dengan lebih tersusun selain meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di kawasan itu," katanya.
Pada masa sama, kata Mohamad, golongan berpendapatan rendah juga tidak diabaikan yang mana kerajaan negeri memperkenalkan sistem sewa beli dan sewa di beberapa kawasan Paroi dan Senawang.
"Walaupun kita memberikan tumpuan kepada golongan berpendapatan sederhana tetapi kita tidak mengabaikan golongan berpendapatan rendah dan ia menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam Dasar Jaringan Keselamatan Sosial.
"Ini adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan rakyat segenap lapisan masyarakat hidup dalam keadaan selesa dan berupaya memiliki kediaman masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berharap kerajaan memberikan tumpuan khusus terhadap cara bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah berkualiti menerusi Bajet 2013 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
|